Cara Menghadapi Individu Narsistik dalam Kehidupan Seharian

0

 

Hai semua, apa khabar di sana?

Semoga anda sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Saya juga mendoakan agar rezeki kalian sentiasa dilapangkan dan segala cita-cita yang diimpikan tercapai dengan izin-Nya.

Hari ini saya ingin berkongsi satu perkara yang agak istimewa, iaitu tentang individu yang bersifat narsistik. Pasti ramai antara kita yang pernah berjumpa dengan jenis orang seperti ini, bukan? Secara umumnya, individu narsistik mudah dikenali melalui sikap mereka yang enggan mengalah dalam perbualan, sentiasa ingin menonjolkan diri, dan sering merasakan apa sahaja cerita orang lain mesti ada kaitan dengan diri mereka.


Antara sikap lain yang biasa ditunjukkan ialah suka merendahkan orang lain, menjatuhkan maruah orang, mengawal tindakan kita, mengongkong kehidupan, malah ada yang seolah-olah seronok melihat orang lain menderita akibat sikap mereka. Sebenarnya, terdapat banyak lagi ciri-ciri individu narsistik ini, dan anda boleh mencari maklumat lanjut melalui carian sendiri untuk memahaminya dengan lebih mendalam.


Saya sendiri pernah mempunyai pengalaman bekerja di pejabat yang sama dengan individu seperti ini. Saya percaya, anda juga mungkin pernah bertemu dengan orang sebegini dalam kehidupan seharian—sama ada di tempat kerja, dalam kalangan kenalan, malah tidak mustahil juga dalam keluarga sendiri, termasuk ibu bapa. Setiap orang yang berdepan dengan individu narsistik akan melalui pengalaman yang berbeza. Oleh itu, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang saya pelajari sepanjang berhadapan dengan mereka. Percayalah, pasti ada cara untuk mengatasinya.



Apa yang boleh anda lakukan jika berhadapan dengan individu narsistik:


1) Jarakkan diri daripada mereka

Jika situasi berlaku di tempat kerja, cuba jarakkan diri. Apabila mereka mula berbual kosong atau mengulang cerita yang sama setiap hari, sebaiknya mengelak atau beredar. Pendedahan berterusan kepada “radiasi” emosi mereka boleh menyebabkan hati dan fikiran anda menjadi tertekan tanpa sedar.


2) Keluarkan mereka daripada hidup anda (jika boleh)

Jika keadaan mengizinkan, buang mereka daripada hidup anda, termasuk dari senarai WhatsApp atau media sosial. Tanda paling jelas anda perlu menjauh ialah apabila hati sering berasa tidak tenang setiap kali berhadapan dengan individu tersebut. Namun, langkah ini lebih sesuai jika mereka bukan ahli keluarga terdekat.


3) Jangan layan dan elakkan provokasi

Di pejabat, apabila mereka mula bercakap perkara pelik atau membuat provokasi untuk menarik perhatian, ambil telefon, pura-pura sibuk, atau fokus pada kerja anda. Beredar jika perlu. Individu narsistik biasanya tidak peka terhadap perasaan orang lain. Walaupun kadang-kala mereka kelihatan simpati, empati itu selalunya kosong jangan mudah terpedaya.


4) Jangan biarkan diri anda terikat

Teruskan hidup dan urusan anda tanpa rasa terikat dengan mereka, walaupun terpaksa berurusan. Jaga diri dan jaga hati anda. Jika mereka mula mengongkong atau cuba mengawal hidup anda cepat-cepat elak dan cari ruang untuk menjauh. Ada yang sampai hal sekecil makan pun mahu dikawal, sedangkan itu adalah pilihan peribadi anda.


5) Berani berkata “TIDAK”

Ini sangat penting. Belajarlah untuk berkata TIDAK, walaupun pada perkara kecil. Perkataan ini sangat “kuat” bagi individu narsistik dan mampu menghentikan manipulasi mereka. Apabila mereka sedar anda tidak mudah dikawal, mereka akan mula menjauh dan mencari sasaran lain.


6) Jangan ambil hati dengan kata-kata mereka

Individu narsistik gemar menilai orang lain. Jika seseorang menurut kehendak mereka, orang itu dianggap “baik”. Jika tidak, mereka akan melabelkan orang tersebut sebagai degil atau bermasalah. Hakikatnya, itu hanyalah tanda mereka gagal mengawal anda dan itu sebenarnya satu kemenangan buat diri anda.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !