Review buku Tentang Pilihan

0

Tentang Pilihan – situasi sama ada memilih yang anda minati atau berkorban untuk keluarga tersayang

Membaca adalah satu budaya yang telah wujud sejak dahulu lagi, jauh sebelum zaman teknologi maklumat berkembang pesat. Dalam era digital hari ini, meskipun dunia teknologi tidak pernah menoleh ke belakang, buku dan bahan bacaan tradisional masih relevan serta mempunyai kelompok pembacanya sendiri.

Saya sendiri sudah agak lama meninggalkan budaya membaca buku kerana terlalu asyik dengan media sosial yang penuh dengan hiburan semata-mata. Namun, pasti tiba satu masa hati terasa kekosongan dan ketika itulah saya mencari semula hobi lama, iaitu membaca buku.

Suatu hari, saya singgah di kedai buku Popular Bookstore yang menjual pelbagai bahan bacaan untuk kanak-kanak hingga dewasa. Di situlah saya bertemu dengan sebuah buku menarik bertajuk "Tentang Pilihan".


Tajuk Buku: Tentang Pilihan

Penulis: Dr. Nur Aisyah Zainordin

Buku ini banyak berkisarkan tentang pengalaman penulis dalam memahami kehidupan dan membuat pilihan yang bijak. Di awal pembacaan, penulis membawa kita menelusuri pengalaman seseorang dalam menghadapi pelbagai situasi yang akhirnya menuntut satu keputusan penting. Ia mengajar kita bagaimana membuat pilihan dengan pertimbangan yang jelas walaupun pilihan itu tidak semestinya sempurna asalkan diambil dengan kesedaran terhadap risiko dan kesannya pada masa depan.

Dr. Nur Aisyah turut berkongsi kisah beliau sebagai seorang pakar perubatan yang dalam masa sama membangunkan syarikat penulisan bernama IMAN. Beliau berhadapan dilema besar sama ada untuk terus berkhidmat sebagai doktor atau memberi tumpuan sepenuhnya kepada IMAN, sesuatu yang menjadi minat mendalam beliau ketika itu.

Dalam buku ini, penulis memperkenalkan konsep dan proses membuat keputusan dengan lebih yakin, sambil meminimumkan risiko kegagalan dalam pilihan hidup.

Kita dapat mendalami pelbagai situasi berbeza melalui kisah beliau. Walaupun latar ceritanya mungkin tidak sama dengan kehidupan kita, namun konsep dan kaedah membuat pilihan yang dikongsikan boleh dijadikan panduan. Setiap daripada kita pasti akan berhadapan dengan pelbagai pilihan sama ada soal jodoh, kerjaya, perniagaan, atau keputusan-keputusan penting lain.

Saya amat menyarankan anda membaca buku ini. Dalam setiap fasa kehidupan, pasti kita akan berdepan dengan detik-detik memilih. Saya sendiri pernah melalui situasi sebegitu dan saya percaya, pilihan yang saya buat ketika itu adalah tepat, walaupun kadangkala ada yang cuba mengungkit kisah lama sekadar mahu melihat reaksi kita. Itu perkara biasa dalam hidup.


Pengalaman Saya Membuat Pilihan

Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman sendiri.

Saya pernah bekerja dalam sektor kerajaan, dan selepas sembilan tahun berkhidmat, saya mendapat peluang menghadiri temuduga bagi jawatan yang lebih tinggi  kebetulan pula dalam bidang yang amat saya minati. Saya lulus temuduga itu, dan sepatutnya gembira, namun timbul satu dilema besar.

Ketika itu, saya baru sahaja berkahwin, dan isteri sedang sarat mengandung anak pertama. Tawaran jawatan baru itu memerlukan saya berhijrah ke Semenanjung.

Bayangkan  kerjaya impian di depan mata, tetapi terpaksa berjauhan daripada isteri yang bakal melahirkan anak pertama kami. Malam-malam saya sukar tidur, fikiran bercampur-baur memikirkan masa depan, tanggungjawab, dan keluarga.

Isteri saya, dengan tenang, berkata:

“Pergilah ke tempat kerja baru tu. Tak apa, kami boleh jaga diri di sini.”

Ibu bapa pula menyokong sepenuhnya keputusan saya menerima tawaran tersebut tanpa menyedari betapa sukarnya perasaan saya untuk berjauhan dalam keadaan sebegitu.

Namun, apabila berdepan situasi seperti ini, saya teringat satu perkara yang saya pelajari daripada sebuah buku tentang pilihan hidup keputusan terbesar dalam hidup sebenarnya datang daripada diri sendiri.

Ya, tiada siapa benar-benar berada dalam situasi kita selain diri kita sendiri. Kata-kata ibu bapa, nasihat kawan-kawan dan pandangan orang lain hanyalah rujukan. Tetapi akhirnya, pilihan tetap milik kita.

Saya percaya, apabila keputusan dibuat dengan rela hati dan penuh kesedaran, kita tidak akan hidup dalam penyesalan atau menyalahkan orang lain di kemudian hari.

Saya memilih untuk menolak tawaran jawatan itu, walaupun itulah impian yang saya kejar selama ini. Saya memilih untuk lebih mengutamakan keluarga isteri dan anak-anak saya. Saya sanggup mengorbankan apa yang saya minati demi mereka, kerana keluarga adalah harapan dan kekuatan terbesar dalam hidup saya.

Kadang-kadang, keberanian sebenar bukanlah mengejar apa yang kita mahu, tetapi berani memilih apa yang betul untuk jiwa dan orang yang kita sayang. Daripada terus menyiksa diri, lebih baik membuat keputusan yang memberi ketenangan hati.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !