Kejayaan menghabiskan hutang kereta dan PTPTN

0

Bebas Hutang, Lega di Hati

Komitmen kewangan setiap keluarga tidak pernah sama. Walaupun bergaji setara, cara mereka mengurus dan membelanjakan wang pasti berbeza. Begitulah hakikat kehidupan tidak semua manusia serupa pemikirannya.

Bagi sesetengah orang, melunaskan hutang seperti pinjaman kereta merupakan satu kejayaan yang sangat besar. Bagi aku sendiri, setelah hampir sembilan tahun membayar RM600 sebulan, akhirnya aku berjaya juga melangsaikan pinjaman kereta sederhana mewah yang aku miliki. Perasaan? Tak terkata lega, syukur, puas!

Ada seseorang berkata“Wah, dah habis bayar kereta? Belilah yang lebih besar, senang nak bawa keluarga berjalan.”

Tapi aku balas dengan tenang“Tak perlulah. Cukuplah kereta yang ada. Aku nak mula kumpul simpanan nak guna untuk pendidikan anak-anak bila mereka besar nanti.”

Ada juga orang yang tak selesa dengar kita makin stabil tanpa hutang. Bagi mereka, hidup mesti ‘nampak mewah’. Bila aku cakap nak tambah simpanan, mereka mula rasa tak senang. Mungkin sebab mereka sendiri masih terbelenggu dengan hutang. Tapi bagi aku, tak mengapa rumah biasa, kereta pun tak perlu canggih sangat  asalkan hidup tidak dibebani hutang hingga umur tua.

Seorang lagi kawan menyarankan,

“Awak dah habis bayar loan kereta, buatlah loan rumah pula. Atau ambillah kad kredit, senang nak beli barang.”

Aku senyum dan jawab, “Tak perlulah. Hidup aku dah cukup. Aku nak tidur lena waktu malam tanpa memikirkan hutang yang mencengkam leher.”

Sebenarnya, ramai orang senyum depan kita, tapi dalam hati mereka rasa tertekan bila tahu kita dah selesai dengan hutang ‘jahat’ seperti pinjaman kereta dan PTPTN. Aku masih ingat, kali pertama aku berjaya habiskan bayaran PTPTN pada tahun 2015 itu adalah satu kejayaan besar dalam hidup aku. Dan sekarang, hutang kereta pula berjaya dilunaskan. Alhamdulillah.

Tapi kejayaan-kejayaan ini tak perlu dihebohkan sangat. Ramai di luar sana yang tak suka dengar kita lebih baik dari mereka. Ada yang lebih selesa lihat kita susah dan menderita. Bukan semua begitu, tapi segelintir itu tetap wujud.

“Aku ada dua kereta, tengah rancang nak buat rumah, ambil loan besar, nak settle hutang lama...”

Begitulah kata seorang lagi kawan. Aku hanya mengiakan dan dengar saja. Dalam hati, aku tahu hidup berhutang itu bukan untuk aku. Mereka bukan sifu kewanganku, jadi tak perlulah aku berdebat panjang. Lebih baik aku fokus kawal kewangan sendiri, jaga keluarga dan pekerjaan.

Bercakap tentang telefon pula ramai anak muda suka telefon mahal. Memanglah kamera cantik, main game laju, semua tip top. Tapi bila ditanya rupanya:

“HP ini aku ambil loan, bayar bulanan RM320.”

Aku terdiam. Tak salah nak guna teknologi, tapi kalau sampai sanggup berhutang untuk sebuah telefon pintar, itu bukan gaya hidup yang bijak. Kadang-kadang kita nasihat, tapi mereka tak dengar. Jadi kita hormat sahaja pilihan hidup mereka.

Hakikatnya, pemikiran aku berbeza dengan kebanyakan anak muda zaman sekarang. Mereka suka gaya hidup yang nampak mewah, walaupun terpaksa berhutang. Aku pula lebih suka hidup sederhana selesaikan hutang secepat mungkin dan elakkan hutang baru. Biarlah tak nampak bergaya, asalkan hati tenang, tidur nyenyak dan masa depan lebih terjamin.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)
Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !